Tuesday, 15 September 2015

Betapa Kita Merinduinya: Alam dan Damai


Terbangnya Si Kenyalang


Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Di Luar Bandar

1.0       Pengenalan

Pada masa kini, arus globalisasi yang semakin mencabar telah memberi pelbagai impak dan perubahan yang amat besar kepada negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Susulan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi merealisasikan matlamatnya.
Rentak pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2015 kekal berdaya tahan dan mencatatkan pertumbuhan antara lima peratus hingga enam peratus (Dewan Ekonomi, 2014). Dengan jangkaan  perkembangan ekonomi yang positif itu, diharapkan laluan kepada status negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020 adalah lebih mudah. Menurut Kementerian Kewangan, pertumbuhan akan diterajui oleh pihak swasta selaras dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan peranan sektor swasta dalam ekonomi, selain didorong juga oleh peningkatan permintaan luar serta aktiviti dalam negeri yang dipelopori oleh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang semakin berdaya tahan.
Peranan dan sumbangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) semakin penting untuk mencapai Wawasan 2020, sekaligus menjadikan  negara ini sebagai sebuah negara maju serta berpendapatan tinggi. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) banyak membuka peluang pekerja, selain memberikan sumbangan bagi menjimatkan tukaran wang asing serta  mewujudkan agihan pendapatan yang lebih baik.
Menurut  Aisyah Syahidah (2014), di samping dapat mewujudkan dan meningkatkan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dapat membantu pemindahan teknologi dari luar negara.
Menurut Siti Nurazira Mohd Daud (2015), ketidaktentuan keadaan ekonomi  dunia menyaksikan Malaysia melalui cabaran terbesar untuk mengekalkan momentum ekonomi semasa, selain harus mendepani cabaran defisit fisikal. Bagi menangani keadaan ini, beberapa dasar dan tindakan bersepadu oleh kerajaan melalui dasar fisikal dan monetari dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara dapat dikekalkan. Melalui beberapa dasar ini, terdapat beberapa inisiatif yang memberi tumpuan kepada kepesatan pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Malaysia mempunyai cita-cita untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Berbaki kurang enam tahun lagi, melalui beberapa dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini (IKS) sudah pun menampakkan hasilnya. Berlandaskan laluan model pertumbuhan ekonomi, Malaysia memfokuskan aspek penjanaan pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kecekapan produktiviti. Dalam pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), kecekapan produktiviti amatlah ditekankan dan merupakan salah satu daripada faktor yang menyumbang kepada kejayaan industri ini. Ini juga telah terbukti di kebanyakan negara luar.
Produktiviti merupakan kunci dan resepi kejayaan perindustrian kecil dan sederhana (IKS) di kebanyakan negara. Kejayaan China,India dan Korea Selatan melonjakkan ekonomi melalui kecekapan pengeluaran produktiviti telah membuka mata banyak pihak termasuk negara maju.
Menurut Suhaila Nadzri et al (2014), di Malaysia kerajaan di pelbagai peringkat memainkan peranan yang penting dalam menarik minat masyarakat terutamanya bumiputera di negara ini untuk menceburi bidang perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS). Ini memandangkan bidang ini memberikan sumbangan yang besar kepada pendapatan negara. Menurut Laporan Tahunan PKS 2012/13 oleh Majlis PKS Kebangsaan, sumbangan IKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan mengikut aktiviti ekonomi utama telah meningkat daripada 32.5 peratus pada tahun 2011 kepada 32.7 peratus pada tahun 2012 (Suhaila Nadzri et al, 2014). Malah, usahawan bukan sahaja mencipta perniagaan baru malahan meningkatkan peluang pekerjaan yang menjurus kepada sumber penciptaan penemuan terbaru, teknologi baru dan inovasi. Negara turut memperolehi keuntungan berlipat ganda dari sektor keusahawanan terutamanya usahawan luar bandar. Selain keuntungan ekonomi, faedah lain turut dirasai oleh masyarakat dari segi taraf kehidupan, tanggungjawab sosial dan pengukuhan industri.




2.0         Definisi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Luar Bandar

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) boleh didefinisikan mengikut aspek-aspek tertentu seperti jenis perniagaan dari segi nilai output,jumlah kerja yang diupah, saiz aset tetap, modal, jualan dan sebagainya.
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mempunyai pelbagai definisi mengikut peranan, fungsi dan organisasi yang berkaitan. Berdasarkan SME Corp. Malaysia (2014), definisi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) adalah sektor atau syarikat pembuatan yang jualannya tidak melebihi RM 50 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200 orang. Dari segi perkhidmatan dan sektor lain, jualan tidak melebihi RM 20 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 orang. Manakala Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar pula bermaksud segala aktiviti pembuatan atau perkhidmatan yang jualan kurang daripada 20-50 juta dan pekerja 75- 200 orang di luar bandar. Definisi ini jelas menunjukkan bahawa segala industri desa atau perkhidmatan perniagaan yang dijalankan di luar bandar atau kampung adalah boleh dikategorikan sebagai IKS luar bandar (Bank Negara Malaysia, 2007).
Di Malaysia sebuah agensi telah ditubuhkan dengan objektif untuk membangunkan dan mengkordinasikan program-program IKS iaitu Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana. Agensi ini menafsirkan IKS sebagai sebuah syarikat yang mempunyai nilai jualan tahunan tidak melebihi RM 25 juta dan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 150 orang.
Manakala menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mendefinisikan IKS dari sudut jumlah modal iaitu Industri Sederhana adalah kurang daripada RM 500,000 dan Industri Sederhana adalah antara RM500,000 hingga RM 2.5 juta.
Secara khususnya, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di luar bandar boleh dikenal pasti melalui beberapa aspek, contohnya dari aspek jenis keluaran, IKS luar bandar tidak memerlukan tahap teknologi yang terlalu tinggi serta mesin yang canggih dan juga pekerja yang berkemahiran tinggi. Contoh IKS luar bandar adalah industri makanan, industri tekstil, industri perabot, industri kraftangan dan industri plastik. Dari segi organisasi pula, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di luar bandar adalah lebih mudah, berskala kecil, kurang birokratik dan kurang formal berbanding dengan industri besar. Pengkhususan di dalam sesuatu kepakaran dan bidang dalam organisasi IKS luar bandar tidak dapat diamal sepenuhnya. Kebanyakan organisasinya terdiri daripada ahli keluarga atau saudara mara.
Dari aspek modal pula, IKS luar bandar kebanyakannya terdiri daripada syarikat sendirian berhad, perkongsian atau milikan tunggal yang kebanyakannya bermodal kecil dan sederhana yang biasanya tidak melebihi RM 2.5 juta. Dari aspek lokasi pula, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar lazimnya terletak di pinggir bandar atau kampung yang nilai tanahnya adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan lot perindustrian bandar. Ada juga sesetengah IKS luar bandar yang menggunakan kawasan rumah kediaman sendiri sebagai kilang atau pusat pengeluaran. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di luar bandar mengeluarkan hampir semua barang yang berskala kecil seperti barang pengguna, barang sokongan industri besar seperti sektor pembuatan makanan.
Menurut Bank Negara Malaysia (2007), Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terlibat dalam berbagai-bagai aktiviti ekonomi. 33 peratus daripadanya terlibat dalam perdagangan edaran, manakala 23 peratus terlibat dalam aktiviti perkhidmatan lain, iaitu daripada hotel dan restoran hinggalah kepada perkhidmatan perniagaan. Dari segi struktur pemilikan, 88 peratus IKS merupakan perniagaan milik keluarga. Secara umum, saiz IKS amatlah kecil, dengan 77 peratus daripada mereka mempunyai aset kurang daripada 50 orang pekerja sepenuh masa. Oleh sebab saiznya kecil, kebanyakan IKS tertumpu pada pasaran dalam negeri . Hanya 8 peratus daripada IKS mengeksport produk mereka. (Bank Negara Malaysia, 2007).

3.0         Tahap Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Luar Bandar

Menurut Bank Negara (2007), hasil bancian dan kaji selidik menunjukkan bahawa terdapat 528,966 perindustrian adalah terdiri daripada Industri Kecil dan Sederhana(IKS). Jumlah ini merupakan 99.2 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia, manakala baki sebanyak 4.136 pertubuhan perniagaan merupakan perusahaan besar.
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan bahagian terbesar pertubuhan perniagaan dalam ketiga-tiga sektor iaitu sektor pertanian, perkilangan dan perkilangan dan perkhidmatan.  Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam sektor perkhidmatan merupakan kategori terbesar, dengan lebih 449,004 IKS (86.%  daripada jumlah IKS) terlibat dalam sektor ini. Kebanyakan daripada IKS ini terlibat dalam subsektor perkhidmatan seperti runcit,restoran, borong,dan pembuatan. Daripada jumlah itu, sebahagian besar sektor atau penglibatan IKS ini merupakan daripada IKS luar Bandar (Suhaila Nadzri et al, 2014). Tahap Industri Kecil dan Sedehana (IKS) di luar bandar semakin meningkat saban tahun. Ini dapat dibuktikan dengan pertambahan bilangan penyertaan IKS di semua kawasan atau subsektor dalam perusahaan tersebut. Keadaan ini banyak menyumbang kepada peningkatan jumlah keterlibatan syarikat-syarikat kecil dalam Industri ini.
Berdasarkan kepada dapatan dan data yang diperolehi daripada kebanyakan kajian yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia, tahap pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Malaysia semakin meningkat dan menjadi salah satu penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terutamanya IKS di luar bandar. Suntikan dan dasar mesra perniagaan yang dilaksanakan oleh kerajaan banyak membantu kepesatan pembangunan IKS di luar bandar (Shamsiah Abdul Kadir, 2013).
Menurut Hanafi Timan (2013), berdasarkan sasaran Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) 2012-2020, lebih banyak syarikat baharu akan dilahirkan dalam lanskap perniagaan di negara ini khususnya peniaga luar bandar yang baru berjinak dalam IKS. Pelan ini juga bagi memastikan sektor IKS luar bandar dapat berdaya saing untuk memacu pertumbuhan ekonomi domestik. Sehubungan dengan itu, sumbangan sektor perkhidmatan dijangka bertambah daripada 58 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2011 kepada 65 peratus menjelang tahun 2020. Oleh sebab sektor perkhidmatan banyak diceburi oleh Industri Kecil dan Sederhana luar bandar, maka pembangunan utama yang memberi kesan kepada IKS ialah liberalisasi yang berterusan terhadap sektor tersebut yang dalam jangka masa panjang berupaya meningkatkan produktiviti, mendorong persaingan dan mewujudkan rantaian yang lebih kukuh dengan syarikat besar.
Platform yang disediakan oleh kerajaan banyak membantu peniaga dalam Industri Kecil dan sederhana (IKS) luar bandar dan berjaya mempercepatkan  usaha peserta IKS tempatan luar bandar untuk meneroka peluang melebarkan sayap mereka sehingglah ke peringkat antarabangsa. Melalui usaha yang dilakukan oleh Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), perkembangan positif Industri Kecil dan Sederhana(IKS) khususnya luar bandar dalam meneroka peluang pasaran pada peringkat global ini, memberikan gambaran bahawa perancangan yang disasarkan dalam Pelan Induk PKS 2012-2020 yang menggariskan matlamat mencapai sumbangan sektor berkenaan sebanyak 41 peratus kepada KDNK, dapat direalisasikan. Hal ini memperlihatkan perubahan permainan (game changer) dalam industri, sekali gus mentransformasikan IKS menjadi pemain antarbangsa pada masa depan (Hanafi Timan, 2013).
Menurut Aisyah Syahidah (2014), kira-kira 1.2 peratus daripada 6.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) bagi suku pertama tahun 2014 disumbangkan oleh kejayaan Industri Kecil dan sederhana (IKS) di seluruh negara. Sudah tentu sebahagian daripadanya adalah terdiri daripada IKS luar bandar. Berdasarkan maklumat terbaharu, SME Corp. merekodkan , daripada 98.5 peratus syarikat IKS yang berdaftar di seluruh negara, lebih 88 peratus syarikat telah diluluskan pembiayaannya oleh institusi perbankan. Selain itu, pelbagai bantuan disalurkan kepada IKS bagi meningkatkan keupayaan syarikat, termasuklah dari segi penjenamaan semula,pembungkusan produk yang lebih menarik, serta bantuan kursus kemahiran bagi meningkatkan tahap kecekapan syarikat seterusnya membawa mereka menerokai peluang sehingga pasaran antarabangsa. Berdasarkan tinjauan ini, kepesatan Industri Kecil dan Sederhana semakin menampakkan kemajuannya.


4.0         Kepentingan dan Sumbangan IKS Luar Bandar Terhadap Pembangunan Ekonomi Negara

Selaras dengan usaha kerajaan ingin memajukan kawasan luar bandar, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan usaha terbaik dalam menjalinkan usaha sama dalam memajukan ekonomi luar bandar dan seterusnya mengangkat taraf ekonomi penduduk luar bandar. Industri Kecil dan Sederhana merupakan salah satu sektor industri yang menyumbang kepada pendapatan negara dan adalah amat wajar sekiranya industri ini semakin diberi tumpuan dan diminati oleh golongan peniaga luar bandar. Contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik, kilang makanan dan lain-lain.
Terdapat banyak kepentingan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat dan negara. Salah satu kepentingan IKS adalah berupaya meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya penduduk luar bandar. Seperti yang diketahui, industri ini banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ”Satu Kampung satu Produk”. Sebagai contoh kilang membuat kerepek, kilang sos dan kilang kraf tangan. Pengusaha kilang berkenaan  dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk kampung  dan pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan produk mereka di pasar- pasar malam dan pasar tamu. Meskipun keuntungan penjualan tidak seuntung mana, namum usaha berterusan di samping kualiti produk akan membantu meningkatkan jualan khususnya melalui pelbagai promosi.
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di luar bandar juga telah membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar khususnya penduduk kampung sekitar. Penjanaan dan peningkatan hasil keluaran bagi industri ini amat bergantung kepada kualiti dan jumlah pekerja.  Sebagai contoh, kilang pemprosesan kerepek dan hasil laut memerlukan pekerja yang ramai untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha untuk meminimumkan kos serta peningkatan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para pekerja dalam kalangan masyarakat setempat. Peluang pekerja juga tersedia untuk para suri rumah, ibu tunggal, OKU di sekitar kampung berkenaan. Sikap pengusaha IKS yang prihatin dan mengutamakan khidmat sosial kepada masyarakat setempat akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang diwujudkan di kawasan berkenaan.
Menurut Nurulhuda Che Abdullah (2009), Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. Kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat mungkin tidak akan tercapai tanpa sumbangan dan sokongan besar IKS. Lebih penting lagi, pertumbuhan sektor pembuatan yang amat memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakang telah meletakkan IKS sebagai industri penggerak utama dalam mempelbagaikan aktiviti di sektor ini. Peranan dan sumbangan ini dijangka menjadi semakin penting dalam mencapai wawasan 2020 dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian. Malah IKS boleh dijadikan sebagai asas dan pendokong dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi negara selepas 2020. Pada masa sekarang, sumbangan dan kepentingan IKS semakin terserlah melalui beberapa bidang seperti jumlah pertumbuhan, jumlah pekerjaan, nilai keluaran dan harta tetap.
Secara umumnya, IKS telah membuka banyak peluang pekerjaan, sumbangan dalam meningkatkan jumlah pendapatan negara dan menjimatkan tukaran wang asing, mewujudkan distribusi pendapatan yang lebih baik, membantu dalam melahir dan meningkatkan kemahiran di kalangan tenaga kerja samada pada peringkat pengurusan atau membantu memindahkan teknologi asing. IKS mampu menggunakan tenaga buruh secara intensif dalam teknik pengeluaran mereka berbanding dengan firma-firma besar. Ini dapat membuka peluang pekerjaan yng lebih banyak dalam beberapa fungsi pengeluaran dalam operasi IKS. Apabila IKS menggunakan jumlah kapital yang jauh lebih rendah berbanding dengan firma besar,jumlah dan bilangan pekerja secara langsung lebih ramai bagi setiap ringgit yang dilaburkan. Kelebihan dalam kaedah pengeluaran ini ialah mereka dapat mengurangkan atau meminimakan kos pengeluaran dan seterusnya bersaing dengan firma-firma lain di pasaran terbuka.
Kegiatan IKS secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah tabungan dalam ekonomi negara. Dalam kebanyakan opersasi industri kecil di luar bandar, sejumlah besar kewangan dan modal datangnya daripada pemilik sendiri. Terdapat juga modal yang disumbangkan oleh ahli keluarga,relatif atau kawan, di samping rakan perniagaan mereka. Kepentingan dan peranan IKS dapat dillihat dari segi pengagihan pendapatan dalam kalangan penduduk.
Selain itu, IKS juga mempunyai kepentingan dan berperanan sebagai tempat latihan dalam pelbagai kemahiran untuk pekerja, pengusaha. Mereka dapat membina latihan dan pengetahuan yang berguna mengenai selok belok operasi perniagaan. Melalui modal yang kecil sahaja, IKS dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada ahli keluarga,jiran dan penduduk sekitar mereka. Peluang pekerjaan ini sudah tentu dapat memberi dan menyediakan latihan dan kemahiran yang berguna kepada diri mereka sendiri di samping pekerja yang terlibat. Selain itu, majoriti pengusaha IKS mempunyai kelulusan rendah, melalui IKS mereka dapat menerima latihan yang akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka nanti. Justeru itu, melalui penyertaaan dalam IKS mereka bukan sahaja mendapat latihan, tetapi juga dapat meningkatkan pengalaman latihan dan kemahiran tersebut. Latihan dan kemahiran yang dapat diperolehi dalam IKS juga tidak terhad kepada satu-satu bidang operasi. Kaedah pengeluaran yang lebih menekankan intensif tenaga buruh dalam IKS dan ketiadaan pengkhususan bidang kerja yang tetap dan jelas menyebabkan ramai pekerja dapat menimba latihan dan kemahiran tersebut dalam pelbagai fungsi dan bidang operasi.
IKS juga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dengan mewujudkan, mengembangkan dan mengukuhkan lagi struktur asas pembangunan industri negara. Hasil daripada kepesatan IKS terutamanya dari luar bandar membolehkan struktur pembangunan industri negara lebih kukuh lagi. IKS boleh digunakan sebagai alternatif penting bukan sahaja dalam usaha memperkukuhkan struktur asas industri negara yang lebih baik dan terjamin, tetapi juga dapat mengurangkan peranan syarikat gergasi antarabangsa. IKS juga dapat mewujudkan industri pelengkap kepada keperluan dan pembangunan industri negara. Hai ini  penting kerana negara kita memerlukan kepelbagaian dalam sektor industri. Penglibatan IKS luar bandar yang aktif dalam pelbagai sektor membolehkan asas industri yang mantap dan kukuh .

5.0           Halangan Dan Cabaran Industri Kecil Dan Sederhna(IKS) Luar Bandar

Menurut kajian yang dilakukan oleh Suhaila Nadzri et al (2014), menunjukkan amalan pengurusan kewangan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di luar bandar masih di tahap tidak memuaskan. Aspek pengetahuan dan kemahiran pengurusan keusahawanan merupakan kelemahan utama usahawan bumiputera luar bandar. Malah pengurusan kewangan yang tidak baik dapat memisahkan antara pemilikan peribadi dengan entiti perniagaan sehingga sanggup mengeluarkan dan menggunakan wang tunai dan barang niaga untuk kegunaan diri sendiri dan keluarga tanpa membuat sebaran catatan.

Menurut Hanafi Timan (2013), halangan dan cabaran utama yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) luar bandar adalah seperti :
i.              Masalah modal dan pembiayaan. Ini timbul akibat daripada pihak  bank yang kurang berminat untuk memberi pinjaman kepada usahawan-usahawan IKS luar bandar kerana majoriti mereka tiada cagaran yang kukuh dan status kewangan yang meragukan.
ii.            Produktiviti dan teknologi yang rendah kerana kekurangan tenaga buruh yang mahir dan tidak mampu menyediakan latihan kepada pekerja-pekerja mereka.
iii.           Kekurangan bahan mentah juga antara halangan yang dihadapi oleh usahawan IKS luar bandar. Kekurangan modal telah menghadkan kemampuan mereka untuk memasarkan produk.
iv.           Masalah pasaran juga timbul akibat daripada pengurusan yang kurang cekap, berteknologi rendah dan kurang inovasi dalam kalangan pengurus dan pekerja IKS tersebut.
v.            Usahawan-usahawan IKS luar bandar juga menghadapi masalah lokasi, di mana lokasi yang terpencil di luar bandar kebanyakannya tiada kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih. Kebanyakan lokasi IKS luar bandar adalah menggunakan rumah kediaman mereka sendiri sebagai kilang pengeluar dan sudah tentu lokasi ini kurang sesuai dengan pusat pengeluaran.
vi.           Usahawan IKS luar bandar juga menghadapi atau gagal menjalinkan hubungan langsung dengan industri berat. Ini berlaku kerana kegagalan memenuhi kontrak atau tidak mendapat subkontrak kerana kualiti barang dan produktiviti yang rendah . Keadaan ini telah menjejaskan hubungan kedua-dua industri tersebut.

6.0               Sistem Sokongan IKS Luar Bandar

Disebabkan oleh keperluan untuk bergantung kepada permintaan domestik dan industri yang berorientasikan domestik untuk pertumbuhan ekonomi negara telah bertambah, kerajaan akan terus memberi satu sistem sokongan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi menguatkan lagi industri ini khususnya di luar bandar dengan memperkenalkan langkah-langkah sokongan baru. Ini juga bertujuan untuk merasionalkan usaha yang telah ada untuk membangunkan lagi satu sistem sokongan yang mampan. Antara langkah yang telah dikenal pasti adalah(Bank Negara Malaysia, 2009) :
i.              Memperbaiki sistem sokongan institusi
ii.            Memudahkan ketrampilan kepada pembiayaian
iii.           Menaik taraf kemahiran teknologi
iv.           Mempertingkatkan akses pasaran
v.            Menggalakkan pengunaan ICT yang lebih banyak
vi.           Menambahkan kesedaran penjenamaan produk dan hak perlindungan harta intelek.
Dalam menggalakkan dan menaik taraf IKS luar bandar di bawah Masyarakat Perdagangan dan Bumiputra(BCIC) usaha akan dipertingkatkan lagi untuk membantu usahawan bumiputera luar bandar memperbaiki kemahiran mereka dalam bidang pengurusan perniagaan, ICT,R&D, pembangunan produk dan pemasaran . Selain itu, mewujudkan hubungan strategik dengan usahawan bukan bumiputera.
Bagi membolehkan IKS luar bandar menembusi pasaran yang lebih tinggi, usaha untuk mempertingkatkan daya saing mereka akan digiatkan. Konsep satu daerah satu industri merupakan sokongan oleh kerajaan ke arah mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam perniagaan mereka.

7.0                 Langkah-Langkah Mendorong Pembangunan IKS Luar Bandar

Pelbagai langkah yang diambil bagi membangunkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Di antaranya adalah penubuhan Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012-2020. Melalui pelan ini, kerajaan merancang dan berhasrat untuk melahirkan lebih banyak syarikat baru dalam lanskap industri khususnya IKS di luar bandar. Melalui pelan ini, kerajaan cuba mempromosikan usahawan IKS luar bandar yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merupakan salah sebuah agensi kerajaan yang mempromosikan usahawan IKS ke peringkat antarabangsa (Hanafi Timan,2013). Perkembangan postif dalam industri IKS luar bandar dalam meneroka peluang pasaran pada peringkat global memberikan gambaran bahawa perancangan yang disasarkan dalam Pelan Induk PKS 2012-2020 yang menggariskan matlamat mencapai sumbangan sektor berkenaan dapat direalisasikan.
Berdasarkan maklumat daripada SME Corp. (Aisyah Syahidah,2014), lebih 88 peratus syarikat dalam IKS telah diluluskan pembiayaannya oleh institusi perbankan. Selain itu, pelbagai bantuan disalurkan kepada IKS bagi meningkatkan keupayaan syarikat ,termasuk penjenamaan semula, pembungkusan produk yang lebih menarik serta bantuan kursus kemahiran bagi meningkatkan tahap kecekapan usahawan IKS luar bandar untuk meneroka pasaran yang lebih tinggi lagi. Sejumlah 133 porgram dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun 2014, dengan komitmen kewangan hampir RM 7 bilion untuk memanfaatkan kira-kira 484 ribu peserta IKS seluruh negara. Di samping itu kerajaan turut berganding bahu dengan sektor swasta bagi menjalankan 21 program yang menelan belanja sebanyak RM6.3 bilion, terutamanya dalam bidang akses kepada pembiayaan. Secara keseluruhannya, sejumlah 154 porgram pembangunan IKS dilaksanakan pada tahun 2014 dengan komitmen kewangan berjumlah RM13.3 bilion.
Menurut Suhaila Nazri (2014), beberapa langkah yang telah di ambil bagi mendorong pembangunan IKS di luar bandar adalah seperti berikut :
i.              Program Rantaian Industri (ILP) yang merupakan porgram pembangunan vendor yang diperkenalkan untuk membekalkan komponen kepada syarikat yang lebih besar.
ii.            Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang telah dianjurkan oleh badan tertentu seperti SIRIM, MARDI dan MPOB bagi membantu IKS mencapai piawaian yang tinggi seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Ini bertujuan bagi menjamin kualiti produk pengeluaran mereka setanding dengan syarikat antarabangsa.
iii.           Program Pembangunan luar bandar dan infrastruktur yang telah dilakukan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar melalui agensinya seperti MARA. Inisiatif ini turut menyediakan kemudahan infrastruktur seperti taman perindustrian dan unit kilang untuk usahawan luar bandar.

8.0         Rumusan

Secara keseluruhannya, berdasarkan pandangan dan perbincangan ini dapatlah di rumuskan bahawa Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan perkara penting yang harus diambil perhatian semua pihak. Usaha dan perancangan yang telah dilakukan oleh kerajaan tidak mencukupi jika tiada kesungguhan dari pihak usahawan IKS sendiri terutamanya dari luar bandar. Di samping itu, penduduk setempat terutamanya orang kampung harus memberi kerjasama dan galakan kepada usahawan-usahawan IKS ini kerana mereka adalah golongan yang paling rapat dan dekat dengan usahawan ini. Berdasarkan beberapa pandangan dalam perbincangan terdahulu telah mendapati terdapat dua faktor utama iaitu faktor dalaman dan faktor luaran yang mempengaruhi kejayaan atau kegagalan IKS luar bandar di Malaysia. Faktor dalaman ini meliputi ciri-ciri keusahawanan dan orientasi keusahawanan, serta pegangan atau ketaatan kepada agama. Manakala faktor-faktor luaran pula meliputi kemahiran pengurusan,pengalaman pengurusan dan industri,perancangan dan keadaan ekonomi,hubungan sosial, jaringan dan pemasaran serta bantuan dan sokongan kerajaan.
Semua faktor-faktor ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh usahawan IKS luar bandar sekiranya mereka ingin lebih berjaya dalam sektor ini. Mereka juga perlu mempunyai sikap yang tidak mudah putus asa, poraktif, keyakinan diri yang tinggi, inovatif untuk lebih berjaya. Di samping itu mereka perlulah membaiki kemahiran pengurusan, menimba pengalaman sebanyak mungkin dan perlulah mempunyai perancangan dan ilmu kewangan. Usahawan IKS luar bandar juga harus mewujudkan jaringan sosial dan kerjasama yang kukuh di kalangan rakan perniagaan dan masyarakat.
Bantuan dan sokongan daripada kerajaan masih lagi diperlukan dan signifikan dalam memyumbang kepada kejayaan IKS luar bandar di Malaysia. Justeru itu, bantuan sokongan serta polisi dasar yang dijalankan oleh kerajaan sebelum ini melalui agensi-agensi yang berkaitan terutamanya peranan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah perlu diteruskan dan dibuat penambahbaikan selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan ekonomi bumiputera.
Sekiranya perkara-perkara ini sama-sama diambil peduli oleh semua pihak, tidak mustahil Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terutamanya di kawasan luar bandar mampu berkembang dan seterusnya menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara.












Bibliografi

Aisyah Syahidah (2014) IKS Memacu Ekonomi Negara. Dewan Ekonomi  Bil 11/nov :3
Bank Negara Malaysia (2007) Status Dan Prestasi Perusahaan Kecil Dan Sederhana. www.bnm.gov.my/files/publication/sme/bm/2007/bab2.pdf
Dasar-dasar Mempertingkatkan Prestasi PKS(2015) www.epu.gov.my
Definisi Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) Di Malaysia (2015) : http://www.smecorp.gov.my/vn2/node/534?language=ms
Hanafi Timan (2013) PKS Tempatan Teroka Pasaran Global. Dewan Ekonomi, Januari 2015: 19-22
Nurulhuda Che Abdullah & Ramlee Mustapha (2009) Kajian Kes Usahawan Tani Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) Bumiputera Di Negeri Terengganu. Jurnal Pendidikan Malaysia 34(2)(2009) : 143-165
Shamsiah Abd Kadir(2014) D’sore Bakal Peneraju Dalam Industri Penyajian. Dewan Ekonomi Bil 11/nov :33-38
Siti Nurazira Mohd Daud (2015) Prestasi Dan Cabaran Ekonomi Malaysia. Dewan Ekonomi, Januari 2015 : 19-22
Suhaila Nadzri, et al (2014) Faktor-Faktor Penyumbang Kepada Kejayaan Dan Kegagalan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) Bumiputera Di Malaysia, E-proceedings of conference on management anda muamalah (comm  2014)